Wednesday, June 11, 2008

Sejarah Yang Diaturkan

Sudah tiba masanya untuk anak bangsa Malaysia mencari salasilah sebenar mereka. Sejarah yang dipelajari sungguh telah dirancang untuk kita memikirkan, cuma pada 'nama'. Terlalu banyak yang telah dirubah agar kita tidak lagi mengenali diri sendiri. Jati diri kita tidak terpeduli sejak 1511 lagi. Sedangkan di sinilah segalanya bermula. Di sinilah dunia bertapak dan berniaga. Di sinilah terkumpulnya khazanah serata benua.
Ilmuan Arab datang berdagang,
Membawa bersama peniaga India,
Di sinilah semuanya berkunjung datang,
Bertukar dagangan dengan saudagar Cina.
Dari tarikh Parameswara Iskandar Syah membuka Melaka sekitar 1390an, hingga dilanda ketamakan orang Eropah 1511, kita perlu selidik sejauh mana tingginya ketamadunan Melayu. Kita berada dalam kelompok yang tersohor ketika itu, lebih maju dari orang Eropah yang mengalami 'Zaman Gelap' mereka.
Kita berdiplomasi dengan Negara China, Sultan Iskandar Syah pernah bertandang ke sana. Sudah pasti kita telah mempunyai pelaut yang mahir, pembina kapal yang hebat, serta pembuat peralatan dan kelengkapan yang maju untuk waktu itu.
Tetapi... sayang seribu kali sayang... yang ada cuma cerita digenggaman...
Kini... Tambo Malaysia cuba membina satu wadah untuk semua agar kita bangkit mencari, menyelidik, membuat kajian dan mungkin menulis kembali sejarah sebenar MALAYSIA.
Tambo Malaysia memohon kerjasama semua yang singgah untuk memberi sebarang maklumat untuk dikumpul dan diselidik.
Seperti contoh, Orang Portugis percaya makam Sultan Iskandar Syah berada di sekitar Teluk Rachardo (Tanjung Tuan). Catatan pelaut Sepanyol, Portugis dan Belanda pernah menyatakannya. Makam ini kita perlu cari dan membuat ekskavasi dan diwartakan sebagai tempat di mana dunia moden Melayu bermula.
Usaha ini memang memakan belanja dan memerlukan sokongan kerajaan. Tetapi, kita perlu laksanakannya demi membina jati diri bangsa yang selama ini terlalu terporok pada satu idea yang ditanam penjajah iaitu, 'merekalah yang membangunkan negara ini'.
Tambo Malaysia juga memohon agar dimulakan satu tabung dana untuk 'Mengkaji Ketamadunan Dunia Melayu dari 1390an hingga 1511'.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Penyayang, Tambo Malaysia bermula.

No comments: